Monday, January 31, 2011

Luna bukan punca saya bercerai - Ariel

ARKIB : 14/04/2008 Utusan Online

SEPERTI yang sudah dijangka vokalis kacak Peterpan, Ariel bercerai juga akhirnya.
Setelah sekian lama keretakan rumah tangganya dihidu media seberang namun pemilik nama sebenarnya Nazril Irham begitu bijak menangkis segala gosip-gosip tersebut.
Jawapan klise yang sering kali diberikan pastinya isu keretakan rumah tangganya sekadar direka-reka lantaran selebriti sepertinya sering menjadi mangsa gosip.
Namun akhirnya gosip yang sering kali dikatakan tidak berasas itu ada kebenarannya. Setelah hampir tiga tahun membina mahligai akhirnya berkubur juga pada akhir Mac lalu.
Mungkin bagi masyarakat seberang penceraian Ariel bukanlah satu kejutan memandang kisah di sebalik perkahwinan mereka sudah diketahui umum.
Perkahwinan Ariel juga dilihat seumpama satu paksaan apabila dia mengahwini Sarah Amelia setelah menghamilkan wanita tersebut.
Lantas mungkin juga cinta yang terbina belum cukup kukuh atau sememangnya tiada cinta yang wujud antara mereka.
Ariel sendiri mengakui, melakukan kesilapan besar kerana mengahwini Sarah Amelia yang hanya dikenali dalam tempoh masa yang tidak terlalu lama.
“Saya akui satu kesilapan kerana mengahwini dirinya. Kami kenal sekejap sahaja dan selepas itu terus kahwin. Jadi setelah hampir tiga tahun melayari bahtera perkahwinan sudah tidak ada keserasian antara kami,” katanya pada sidang media Peterpan Konsert Jelajah Malaysia 08 yang diadakan di Zeta Bar, Hotel Hilton, Kuala Lumpur, Khamis, lalu.
Menyambung bicara dalam tutur yang perlahan Ariel menafikan punca keretakan rumah tangganya berpunca daripada sikapnya yang dikatakan telah berpacaran semula bersama bekas kekasihnya, Luna Maya.
“Luna Maya bukan punca kami bercerai. Saya dan Luna sudah lama tak berjumpa dan masing-masing ada hal sendiri.
“Tak ada lagi persefahaman antara saya dan bekas isteri saya lantas perkahwinan ini tak boleh diteruskan lagi,” ujarnya.
Mengenai anak pula, terang Ariel mereka berdua akan bergilir-gilir menjaganya dan segala harta bersama telah diselesaikan secara baik.
Sengaja mengusik bertanyakan sudah ada wanita baru di hatinya pantas Ariel menjawab: “Hati saya masih lagi kosong. Belum terfikir lagi untuk mencari yang baru.”
Konsert Jelajah Malaysia 08
Pertama kali mengadakan konsert pada tahun 2006, konsert Peterpan mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.
Lebih 30,000 ribu peminat membanjiri Stadium Negara, Kuala Lumpur semata-mata mahu menyaksikan konsert mereka.
Namun mungkin itu ketika nama Peterpan masih berada di puncak. Tapi kini setelah pengunduran dua orang anggotanya Andika dan Indra, Peterpan yang kini tingal berempat iaitu Uki, Loekman, Reza dan Ariel dilihat semakin goyah.
Malah penjualan album baru mereka Hari Yang Cerah juga begitu tercorot.
Bayangkan jika dahulu penjualan album mereka Bintang Di Surga dijual melebihi tiga juta unit tetapi untuk album Hari Yang Cerah sekadar 300,000 itu pun di negara kelahiran mereka.
Jika peminat mereka sendiri seakan-akan sudah memberi signal tidak dapat menerima lagi mereka, adakah khalayak tempatan masih mahu memandang?
Lantas mungkin Peterpan Konsert Jelajah Malaysia 08 bakal menjadi medan sama ada mereka masih mempunyai pengikut atau tidak di sini.
Ditanya kepada Ariel mampukah fenemona terdahulu diulang semula jelas Ariel: “Mungkin dulu diawal kemunculan, kami masih lagi baru dan diminati ramai. Kini setelah pelbagai perkara yang berlaku pada kumpulan kami, saya tak dapat menjangkakan sama ada orang yang akan datang menonton ramai atau tidak.
“Tapi sekiranya penonton tidak seramai mana pun kami akan tetap mengadakan sebuah persembahan yang terbaik untuk yang datang.”
Mengulas mengenai penjualan album mereka yang merosot mungkin disebabkan oleh cerita-cerita kontroversi yang sering terbit di kalangan mereka, Ariel menafikannya.
“Kami semua manusia biasa dan kami tidaklah seteruk itu. Bila kita sudah menghasilkan sebuah karya yang baik jadi apabila kita mahu buat yang baru pastinya satu cabaran.
“Kerana ramai yang mengharapkan kita dapat buat yang lebih baik dan bagus. Selain itu masalah cetak rompak juga antara punca penjualan album kami merosot,” terangnya.
Konsert yang ditaja oleh Celcom ini bakal berlangsung di empat tempat iaitu Sabah (19 April), Kuching (20 April), Johor Bahru (26 April) dan Kuala Lumpur (27 April).
Hujan, The Times, Nitrus dan OAG bakal menghiburkan khalayak selaku artis undangan. Tiket-tiket berharga RM 35 dan RM 75 (hanya di Kuala Lumpur) sudah mula dijual di kaunter-kaunter terpilih.

No comments:

Post a Comment